بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tiada gerak kerja Islam di dunia ini yang boleh tercapai tanpa kepimpinan. Manusia diciptakan untuk berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain bagi melaksanakan gerak kerja yang mulia ini. Namun, untuk mengatur dan mengurus hubungan antara manusia maka diperlukan pemimpin yang dapat memikul tanggungjawab, membimbing dan memandu pekerjaan itu agar dapat mencapai sasarannya.

Berkata Imam Ibnu Taimiyah Rahimullahu Ta’ala,

“Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan muslimin, merupakan kewajiban agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan keturunan Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, di mana sebahagiannya berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin.”

Terjemahan hadis daripada Abu Said R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda , “Apabila tiga (orang Islam) keluar dalam satu perjalanan maka hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua”. (Hadis riwayat Abu Daud)

Melantik seorang pemimpin hatta dalam kalangan tiga orang adalah suatu suruhan daripada Nabi Muhammad S.A.W. Apatah lagi dalam kalangan komuniti yang lebih besar, dalam keadaan kita yang berada di perantauan, menuntut kepada setiap daripada komuniti di sini untuk memilih dan melantik pimpinan yang berkelayakan.

Mengekalkan sistem Pencalonan

Sebagai sebuah badan bebas yang bernaung di bawah PERUBATAN, Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan (JPC) 2017 bertanggungjawab untuk memastikan proses pemilihan Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN (AJKT) sesi 2018/2019 berjalan dengan lancar. Pada tahun ini, JPC akan mengguna pakai sistem ‘Pencalonan’ sebagaimana yang telah diamalkan sebelum ini. Melalui sistem ini, calon yang layak bertanding perlulah mendapat cadangan dan sokongan dari individu yang lain. Ahli PERUBATAN juga akan melalui beberapa fasa pilihanraya. Antaranya ialah fasa pencalonan, fasa kempen dan bantahan, dan akhirnya pengundian.

Takwim Pilihanraya Cawangan Tanta 2017

Setelah meneliti dari pelbagai aspek, pihak Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) Tanta 2017 telah menetapkan beberapa tarikh penting bagi menjayakan pilihanraya cawangan di Tanta.

 

Butiran takwim tarikh-tarikh penting adalah seperti berikut:

                         Perkara                                                                            Tarikh

  1. Hari Penjualan Borang Pencalonan ………………………..1-7 Disember 2017
  2. Hari Pencalonan……………………………………………………7 Disember 2017
  3. Pengumuman Senarai Calon Fasa I…………………………9 Disember 2017
  4. Tempoh Kempen & Bantahan…………………………………9 Disember – 14 Disember 2017
  5. Pengumuman Senarai Calon (Fasa II)……………………..13 Disember 2017
  6. Hari Pengundian …………………………………………………..16 Disember 2017

 

Seruan kepada Ahli

Tugas melantik pimpinan merupakan tanggungjawab bersama. Justeru pihak kami menyeru semua ahli PERUBATAN Cawangan Tanta untuk turut serta dan sama-sama melibatkan diri sepanjang berlangsungnya proses pilihan raya pada tahun ini. Seterusnya, menjayakan sasaran kami agar sekurang-kurangnya 40% orang ahli PERUBATAN turun mengundi di peringkat cawangan Tanta. Kuasa di tangan anda, sentiasalah amanah dalam mengendalikannya.

Wallahu ta’ala a’lam.

 

“Berkat, Telus dan Cekap”

Yang menjalankan amanah,

MUHD SYAZRIQ RAHMAN BIN ABD RAHMAN

Pengarah,

Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) Tanta.